CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, August 10, 2010

Board Of Quantity Surveyor Malaysia (BQSM)

Lembaga Juruukur Bahan Malaysia


1.1 Sejarah Penubuhan

Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LBJM) atau Board of Quantity Surveyor Malaysia merupakan badan berkanun yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen yang dengan nama Registration of Quantity Surveyor Act 1967 (yang juga dikenali sebagai Quantity Surveyor Act 1967). Tanggungjawab lembaga ini ialah :

a. Pendaftaran Juruukur Bahan dan firma serta badan korporat yang mengamalkan praktis perkhidmatan ukur bahan.

b. Menggubal undang-undang profesion Juruukur Bahan di Malaysia.



Matlamat yang ingin dicapai oleh lembaga ini ialah untuk melindungi kepentingan awam terhadap amalan tidak beretika dan salah laku Juruukur Bahan dalam memberi perkhidmatan Juruukur Bahan.



LJBM dikenali sebagai Lembaga Juruukur di mana ianya di bawah Akta Pendaftaran Juruukur 1967 sebelum tahun 1982. Tanggungjawab lembaga ini ialah menggubal undang-undang terhadap profesion Juruukur Bahan dan Penilai (Valuers).



Pada tahun 1989, perubahan telah dibuat kepada Akta Juruukur Bahan menjadi Peraturan Juruukur Bahan (1995) yang bertujuan untuk menambahkan kuasa penyediaan peraturan mengenai profesion Juruukur Bahan.



Hanya Juruukur Bahan yang mempunyai kelayakan bersesuaian diterima berdaftar dengan Lembaga untuk memberikan perkhidmatan Juruukur Bahan untuk mengelakkan salah laku dan amalan praktis bagi melindungi kepentingan awam. Ia juga akan mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima mengenai Juruukur Bahan berdaftar yang melanggar kod profesional sebagai Juruukur Bahan sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Peraturan Juruukur Bahan,merujuk kepada Seksyen 26 Akta Juruukur Bahan 1967.



Dengan adanya Lembaga ini,pandangan awam mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Juruukur Bahan di Malaysia memuaskan dan melindungi kepentingan awam serta profesion Juruukur Bahan sendiri.





1.2 AKTA JURUUKUR BAHAN 1967



I. Pada 26 September 1967, Akta Pendaftaran Juruukur 1967 telah diluluskan oleh Parlimen. Akta ini merangkumi Profesion Ukur Bahan dan Penilaian. Tujuan Akta pada masa itu adalah agar mereka yang bertauliah sahaja yang berhak membuat dan memberi perkhidmatan Ukur Bahan dan Penilaian kepada pelanggan.



Dengan itu semua Juruukur Bahan dan Penilai yang sedang menjalani amalan Perunding dan mereka yang berkelulusan yang telah ditetapkan hendaklah berdaftar dengan Lembaga Juruukur. Pindaan-pindaan telah dibuat ke atas Akta ini pada tahun 1973, 1974 dan 1975.

II. Pada tahun 1981, Akta ini telah dipinda lagi agar kedua-dua profesion Ukur Bahan dan Penilaian mempunyai Akta sendiri. Dengan itu lahirlah Akta Pendaftaran Juruukur Bahan 1967. Pindaan telah dibuat ke atas Akta ini pada tahun 1984 dan 1986.Pada tahun 1989, Akta Pendaftaran Juruukur Bahan 1967 telah ditukar menjadi Akta Juruukur Bahan 1967 (Pindaan).



Tujuan Akta adalah untuk memperuntukkan penubuhan Lembaga Juruukur Bahan; untuk mendaftar Juruukur Bahan dan firma serta Pertubuhan Perbadanan yang beramal sebagai Juruukur Bahan Perunding; dan seterusnya untuk menyelaraskan serta menetapkan peraturan amalan Ukur Bahan dan yang berkaitan dengannya.





III. Akta ini terbahagi kepada beberapa Bahagian iaitu:

a. Bahagian I - Permulaan

b. Bahagian II - Lembaga Juruukur Bahan

c. Bahagian III - Pendaftaran Juruukur Bahan dan firma serta

Pertubuhan Perbadanan

d. Bahagian IV - Pembatalan,mengeluar dan kemasukan semula

e. Bahagian V - Peruntukan-peruntukan Am




1.3 FUNGSI LEMBAGA JURUUKUR BAHAN MALAYSIA

Terdapat banyak fungsi Lembaga Juruukur Bahan Malaysia. Antaranya ialah:

a. Sebagai badan bertanggungjawab untuk pendaftaran Juruukur Bahan dan firma yang ingin mengamalkan praktis dan perundingan ukur bahan.

b. Meluluskan atau menolak permohonan untuk pendaftaran di bawah Akta mengikut prosedur dan kelayakan yang telah ditetapkan.

c. Membuat pembatalan, pindaan atau pemasukan semula mengenai pendaftaran Juruukur Bahan sekiranya seseorang Juruukur Bahan melakukan perkara yang tidak diingini atau mengaibkan Lembaga.

d. Menentukan skala bayaran terhadap perkhidmatan atau nasihat profesional dari Juruukur Bahan berdaftar dari masa ke masa dengan kelulusan Menteri.

e. Mendengar dan menentukan perselisihan yang berkaitan dengan amalan atau etika profesional Juruukur Bahan;atau melantik satu jawatankuasa atau Arbitrator untuk mendengar dan menentukan pertikaian tersebut.

f. Menentukan dan menyelaraskan amalan atau etika profesional Juruukur Bahan.

g. Secara umumnya,untuk melaksanakan segala tindakan dan perkara yang diperlukan untuk pelaksanaan Akta Pendaftaran Juruukur Bahan 1967.





1.3 PERMOHONAN SEBAGAI JURUUKUR BAHAN BERDAFTAR DENGAN LBJM



Seseorang juruukur bahan berdaftar sementara yang ingin memohon untuk pendaftaran sebagai juruukur bahan mestilah memiliki kelulusan dari institusi yang diiktiraf oleh LJUBM dan mestilah mempunyai pengalaman praktik:

a. Bekerja sebagai juruukur bahan dalam tempoh dua tahun di mana-mana jabatan, pihak berkuasa,institusi atau badan yang diluluskan oleh lembaga sama ada sektor awam atau swasta yang memuaskan hati majikan.

b. Sekiranya mereka tidak bekerja seperti di atas, tetapi menjalankan tugas-tugas ukur bahan di firma, pertubuhan perbadanan atau organisasi yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi atau pekerja juruukur bahan berdaftar.



Tempoh dua tahun adalah dikira bermula dari tarikh pendaftaran sebagai juruukur bahan berdaftar sementara.



Untuk membolehkan berdaftar sebagai juruukur bahan berdaftar,seseorang perlu mengambil Ujian Kecekapan Profesional (Test of Professional Competence) yang dikendalikan bersama Lembaga LJUBM dan Pertubuhan Juruukur Malaysia yang mengandungi perkara-perkara seperti berikut:

a. Pengalaman praktis yang dijalankan dalam tempoh minimum dua tahun seperti yang telah dinyatakan atau mempunyai pengalaman profesional dalam bidang berkaitan di bawah penyeliaan seseorang juruukur bahan berdaftar atau seorang anggota atau Felo Pertubuhan Juruukur (Malaysia) yang merupakan seorang juruukur bahan.

b. Pengemukaan tugas-tugas praktik seperti yang diarahkan oleh panel bersama Ujian Kecekapan Profesional.

c. Satu ujian bertulis berhubungan dengan pengalaman profesional yang telah diperolehi dan tata kelakuan profesional.

d. Satu temuduga profesional yang dijalankan sekurang-kurangnya oleh dua orang pemeriksa yang dilantik oleh panel bersama Ujian Kecekapan Profesional dari masa ke masa.

e. Sebarang bentuk ujian atau penilaian lain kecekapan profesional sebagaimana yang boleh diputuskan oleh panel bersama Ujian Kecekapan Profesional dari masa ke masa.

Mereka juga dikehendaki mengemukakan bersama permohonannya bukti bertulis bahawa yang dia telah mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan.



1.4 PENDAFTARAN JURUUKUR BAHAN DAN FIRMA DI LEMBAGA JURUUKUR BAHAN MALAYSIA (LJBM)



PENDAFTARAN JURUUKUR BAHAN

Terdapat dua kategori pendaftaran juruukur bahan di LJBM iaitu:

a. Pendaftaran juruukur bahan berdaftar

b. Pendaftaran juruukur bahan sementara (provisional)

Prosedur-prosedur yang perlu diikuti apabila seseorang Juruukur Bahan ingin berdaftar dengan LJBM ialah:

i. Borang Pendaftaran

Terdapat dua jenis borang yang perlu diisi bergantung kepada kategori pendaftaran iaitu:

Juruukur Bahan Berdaftar

Warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang ingin dan berminat untuk berdaftar sebagai Juruukur Bahan berdaftar mestilah membuat pemohonan pendaftaran menggunakan borang yang ditetepkan iaitu Borang B dalam Jadual Pertama.

Pendaftaran sementara

Bagi mereka yang ingin memohon untuk pendaftaran sementara menggunakan Borang A dalam Jadual Pertama.

ii. Penyerahan borang permohanan

Dalam tempoh 45 hari setelah menerima permohanan pendaftaran,pendaftar mestilah:

a) Menyerahkan borang tersebut kepada Lembaga.

b) Membuat satu salinan setiap borang dan diberikan kepaada ahli-ahli dalam Lembaga.

Pihak Lembaga akan membuat keputusan mengenai permohonan tersebut dalam masa 90 hari dari tarikh penyerahan borang oleh pendaftar.Penyerahan salinan kepada setiap anggota lembaga boleh dilakukan sama ada:

a. Memberikan kepada anggota itu sendiri.

b. Meninggalkannya di permis perniagaan atau pejabat dalam jagaan rakan kongsi atau pekerja anggota itu.

c. Majikan anggota.

d. Menghantar melalui pos biasa sama ada ke alamat rumah,perniagaan atau pejabat.

iii. Pemberitahuan keputusan pendaftaran

Setiap pemohon akan diberi notis mengenai keputusan permohonan sebagai Juruukur Bahan berdaftar dalam tempoh 45 hari dari tarikh keputusan dibuat oleh Lembaga.Tarikh keputusan juga dinyatakan di dalam notis tersebut untuk makluman para pemohon.

iv. Bayaran keputusan pendaftaran

Setelah permohanan telah diluluskan oleh Lembaga,setiap pemohon sama ada yang berdaftar sebagai Juruukur Bahan berdaftar atau pendaftaran sementara, mestilah membuat pembayaran yuran pendaftaran dalam masa 3 bulan dari tarikh notis pemberitahuan dikeluarkan kepada setiap pemohon. Jumlah bayaran yang perlu dibayar adalah berbeza mengikut kategori pendaftaran:

Juruukur bahan berdaftar

Jumlah yuran yang dikenakan ialah sebanyak RM200.00.

Juruukur bahan berdaftar sementara

Jumlah yuran ialah sebanyak RM50.00.

Sekiranya mereka gagal untuk berbuat demikian dalam tempoh yang telah ditetepkan, Lembaga menganggap bahawa pemohon telah menarik balik permohonan pendaftaran yang dibuat oleh mereka. Maka,sekiranya mereka ingin membuat permohonanan semula, permohonan mereka tidak akan dipertimbangkan dalam tempoh setahun dari tarikh permohonannya yang terdahulu diluluskan.

Namun begitu, sekiranya Lembaga berpuashati dengan sebab dan alas an yang munasabah kegagalan untuk membayar yuran pendaftaran, Lembaga akan menimbang permohonan yang diterima sebelum habis tempoh setahun itu.

v. Sijil pendaftaran

Sijil pendaftaran akan diberikan mengikut kategori pendaftaran iaitu:

Juruukur bahan berdaftar

Menggunakan borang D seperti yang terdapat dalam Jadual Pertama.

Juruukur bahan berdaftar sementara

Menggunakan borang C dalam Jadual Pertama.

vi. Permohonan untuk memperbaharui sijil pendaftaran

Permohonan untuk memperbaharui sijil pendaftaran boleh dibuat menggunakan surat biasa. Bayaran pembaharuan bagi pendaftaran juruukur bahan berdaftar dikenakan sebanyak RM150.00 manakala juruukur bahan berdaftar sementara sebanyak RM50.00.

vii. Yuran kemasukan semula (reinstatement)

Bergantung kepada kategori pendaftaran iaitu:

Juruukur bahan berdaftar

Jumlah amaun bayaran pembaharuan yang kena bayar dibayar jika pendaftar dibaharui bayaran pendaftaran yang dikenakan ialah sebanyak RM150.00. Pembayaran pentadbiran sebanyak RM30.00.

Juruukur bahan berdaftar sementara

Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM50.00 manakala bayaran pentadbiran adalah sebanyak RM30.00.

viii. Sijil pemasukan semula

Selepas pemasukan semula, pendaftar akan mengeluarkan sijil pemasukan semula kepada juruukur bahan berdaftar menggunakan borang G (dalam Jadual Pertama), manakala untuk juruukur bahan berdaftar sementara menggunakan borang H (Jadual Pertama).



1.5 KEAHLIAN LEMBAGA JURUUKUR BAHAN MALAYSIA



Lembaga Juruukur Bahan Malaysia terdiri dari ahli-ahli yang dilantik oleh Menteri Kerja Raya. Mereka adalah Juruukur Bahan yang Berdaftar seperti berikut:

a. Seorang Presiden dari kalangan Juruukur Bahan Berdaftar (Pada masa ini, LJBM diketuai oleh Datuk Abdull Manaf bin Haji Hashim. Sebelumnya oleh Tuan Haji Mohammad bin Gading (sesi ke-9) dan tamat perkhidmatannya pada 5 Februari 2001. Presiden LJUBM yang pertama ialah Datuk Prof. Hj. Abdul Rahman Abdullah).

b. Lima Juruukur Bahan Perkhidmatan Awam.

c. Dua Juruukur Bahan dari Badan Berkanun.

d. Seorang Juruukur Bahan dari Institusi Pengajian Tinggi.

e. Lima orang Juruukur Bahan dari Sektor Swasta yang dicalonkan oleh Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM) yang mempunyai pengalaman melebihi enam tahun.

f. Seorang calon dari Lembaga Arkitek.

g. Seorang calon dari Lembaga Jurutera.

h. Seorang calon dari Lembaga Penilaian dan Hartanah.

Tempoh keahlian mereka ini adalah tidak melebihi tiga tahun dan mereka ini boleh dicalonkan untuk dilantik semula bagi tempoh berikutnya.





1.6 Pendaftaran Firma-firma dan Pertubuhan Perbadanan

Firma-firma atau pertubuhan-pertubuhan yang ingin berdaftar dengan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia perlu mematuhi prosedur-prosedur yang berikut:

Permohonan pendaftaran

Firma-firma atau pertubuhan-pertubuhan yang berhasrat untuk menjalankan amalan sebagai juruukur bahan perunding mestilah membuat permohonan kepada Pendaftar dengan menggunakan Borang 1 dalam Jadual Pertama.

Firma atau pertubuhan perbadanan yang telah menjalankan amalan sebagai juruukur bahan perunding boleh meneruskan perkhidmatannya dengan syarat :

i. Telah mendapat kelulusan bertulis dan permit yang sah daripada Lembaga.

ii. Memenuhi syarat-syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Lembaga yang difikirkan sesuai atau patut.

Pemilik tunggal atau rakan kongsi yang ingin membuka firma dan menjalankan praktik sebagai juruukur bahan, mestilah merupakan juruukur bahan berdaftar dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun yang memuaskan hati Lembaga. Prosedur yang sama juga bagi pertubuhan perbadanan di mana Pengarah atau pemegang-pemegang saham mestilah juruukur bahan berdaftar dan mempunyai kelayakan minimum lima tahun.

a. Pemunyaan

Setelah permohonan diterima. Pendaftar mestilah memastikan bahawa :

i. Juruukur bahan berdaftar mempunyai kepentingan mengawal dalam pertubuhan perbadanan tidak kurang daripada 55% daripada pemunyaan firma atau pertubuhan.

ii. Segala maklumat dan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh firma atau pertubuhan memenuhi kehendak-kehendak Lembaga dari masa ke semasa.

Sekiranya pendaftar tidak berpuashati dengan segala maklumat atau dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pemohon, maka permohonan akan dikembalikan semula kepada pemohon dengan menyatakan kecacatan yang terdapat dalam permohonan tersebut. Ianya perlu dibaiki oleh pemohon dengan mengemukakan maklumat-maklumat atau dokumen yang sesuai. Apabila Pendaftar telah berpuas hati, dalam tempoh 45 hari dari tarikh penerimaan permohonan, dia mestilah :

a. Mengemukakan kepada Lembaga.

b. Menghantar salinan permohonan kepada setiap anggota.

c. Lembaga akan memebuat keputusan mengenai permohonan tersebut dalam masa 90 hari dari tarikh permohonan itu diterima daripada Pendaftar. Penyerahan salinan kepada setiap anggota sama seperti pendaftaran individu.

b. Pemberitahuan keputusan oleh pendaftar

Pendaftar akan memaklumkan kepada pemohon yang mana permohonan mereka berjaya diluluskan oleh Lembaga dalam tempoh 45 hari dari tarikh keputusan dibuat. Segala sekatan atau syarat disertakan bersama. Tarikh keputusan oleh Lembaga juga turut dinyatakan.

c. Memorandum dan perkara persatuan dan perjanjian perkongsian

Firma atau pertubuhan perbadanan mestilah menyerahkan memorandum dan perkara persatuan syarikat yang telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 serta Perjanjian Perkongsian setelah permohonan diluluskan.

d. Yuran

Yuran pendaftaran bagi firma atau pertubuhan perbadanan sebanyak RM300.

e. Permit untuk menjalankan amalan sebagai juruukur bahan perunding

Lembaga akan mengeluarkan permit kepada firma atau pertubuhan yang telah diluluskan pendaftarannya dalam borang 1 (Jadual Pertama). Permit akan ditandatangani oleh Pendaftar dan mendapat pengesahan daripada Lembaga.

f. Permohonan bagi pembaharuan

Permohonan pembaharuan kelulusan bagi menjalankan amalan sebagai juruukur bahan perunding boleh dibuat dalam bentuk surat biasa. Yuran untuk pembaharuan sebayak RM300. Setelah permohonan untuk pembaharuan diluluskan, Pendaftar akan mengeluarkan suatu perakuan pembaharuan dalam borang K (Jadual Pertama).

g. Pertukaran nama

Sekiranya firma atau pertubuhan perbadanan yang telah diluluskan oleh Lembaga berhasrat untuk menukar nama syarikat, mestilah membuat permohonan secara bertulis kepada Pendaftar bagi mendapat kelulusan Lembaga. Nama yang dicadangkan mestilah mendapat persetujuan dari pendaftar syarikat. Setelah Lembaga meluluskannya, yuran sebanyak RM150 hendaklah dibayar dalam tempoh sebulan dari tarikh pemberitahuan oleh pendaftar mengenai kelulusan tersebut.



Untuk maklumat terkini, sila semak dengan LEMBAGA JURUUKUR BAHAN MALAYSIA di alamat

http://www.bqsm.gov.my

Untuk AKTA JURUUKUR BAHAN 1967 (Akta 487) versi pdf, sila lawat Jabatan Peguam Negara Malaysia di alamat http://www.agc.gov.my/agc/oth/listTLawbm_10.htm#

0 Orang Terkentut:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

National Geographic POD