CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 11, 2010

Memperingati peristiwa 11 September



‘Dilema’ umat Islam AS sambut Aidilfitri, peringati peristiwa 11 September


September 07, 2010NEW YORK, 7 Sept — Masyarakat Islam di Amerika Syarikat mengambil langkah mempertigkatkan kawalan keselamatan masjid dengan turut mengharapkan bantuan pemimpin agama-agama lain selain menyiarkan iklan ikrar setia menjelang hari ulang tahun mempertingati peristiwa 11 September.

Malah berbanding tahun-tahun sebelum ini, umat Islam pula akan menyambut kedatangan Aidilfitri pada hari yang sama ataupun selang sehari.

Kedua-dua detik penting itu disambut hujung minggu ini.

Jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat ini, bermakna sambutan ulang tahun peringatan peristiwa 11 September akan diadakan pada keesokan hari. Sebaliknya, jika tidak, kemungkinan 1 Syawal dan ulang tahun hari peringatan itu akan jatuh pada hari yang sama.
Umat Islam di Malaysia dijangka akan menyambut 1 Syawal Jumaat ini. Begitu juga kebanyakan negara Islam yang lain.

Masyarakat Islam di Amerika Syarikat bimbang ulang tahun peringatan kesembilan itu akan mencetuskan suasana tidak senang kepada mereka.
Mengambil kira perkembangan semasa, matlamat utama komuniti Islam bukan sahaja melindungi umat Islam tetapi juga menghalang mereka daripada sebarang tindakan jika berhadapan dengan provokasi pihak tertentu.

Satu protes dijangka diadakan di sini Sabtu ini berhubung idea membina pusat kebudayaan Islam dan masjid di mana ia dipercayai akan disertai oleh Geert Wilders, anggota perundangan Belanda yang dilaporkan anti-Islam.



Pada hari yang sama di Gainesville, Dove World Outreach Center merancang untuk membakar al-Quran.


“Kita boleh menjangkakan mereka yang kurang waras sahaja akan berbuat demikian, tetapi kami tidak mahu mencetuskan histeria di kalangan umat Islam,” kata Victor Begg dari Majlis Pertubuhan Islam Michigan.

“Rakyat Amerika, pada umumnya, menyokong pluralisme. Maklumat tidak tepat menyebabkan kekeliruan macam ini,” kata beliau.


Hari ini, Persatuan Islam Amerika Utara dijadual mengadakan mesyuarat dengan pemimpin agama Kristian, Islam dan Yahudi di Washington untuk menangani gelombang kebimbangan dan sikap tidak bertolak ansur ekoran pelan membina pusat kebudayaan Islam dan masjid berhampiran dengan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam peristiwa serangan pengganas 11 September 2001.


Pusat-pusat Islam di kebanyakan bandar raya meningkatkan pemantauan dan menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan.
Malah ada juga tanggapan bahawa sambutan Aidilfitri kali ini juga akan dianggap sebagai satu bentuk tindakan “meraikan” perbuatan kumpulan pengganas yang disaksikan di bumi Amerika Syarika sembilan tahun lalu.


“Kami memberitahu setiap orang agar peka dengan situasi dan melaporkan apa-apa tindakan yang diragui kepada pihak polis dan memanggil kami,” kata Ramzy Kilic dari Majlis Hubungan Islam Amerika cawangan Tampa.


Sambutan ulang tahun memperingati peristiwa 11 September 2001 sentiasa menjadi satu cabaran buat masyarakat Islam di Amerika Syarikat, yang diperhatikan dengan rapat sejak itu.


Berbanding tahun-tahun lalu, sambutan memperingati perisitwa dilihat agar ‘tegang’ kerana masyarakat Islam memenangi tuntutan untuk membina pusat kebudayaan Islam beserta sebuah masjid.


Pusat-pusat Islam sejauh Tennessee dan California juga berhadapan dengan protes dan serangan balas ganas ekoran pelan itu.
Di New York barat, polis memberitahu bahawa sekumpulan remaja mengeluarkan kata-kata kesat, mengaktifkan sistem penggera kereta dan melepaskan tembakan di pekarangan masjid Lake Ontario.

Pada 23 Ogos lalu, kumpulan yang menyokong dan menentang rancangan untuk membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu, mengadakan perhimpunan bagi mempertahankan pendirian masing-masing dengan kawalan ketat polis, semalam.
Ucapan-ucapan yang beremosi, dengan sokongan politik, memberi tumpuan ke atas rancangan mahu membina premis itu yang hanya dua blok jauh dari WTC, yang diserang anggota rangkaian Al-Qaeda dan mengorbankan kira-kira 3,000 orang pada 11 September 2001.
Parti Republikan menentang projek itu dengan menyerang Presiden Barack Obama, dari Demokrat, menjelang pilihan raya separuh penggal, di mana parti itu bekerja keras untuk mengekalkan penguasaan di Kongres.
Mereka yang menentang pembinaan pusat itu, yang termasuk dewan solat, mendakwa lokasi premis itu tidak sensitif kepada persekitaran dan bimbang akan memberi teduhan kepada pelampau agama.

Dalam pada itu, mereka yang menyokong projek itu berkata pihaknya mempunyai kebebasan beragama dan perlu mempromosikan toleransi dan persefahaman.

Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya.

Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.
Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta (AS$100 juta).

Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.
Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat. —Agensi
-http://www.themalaysianinsider.com/

0 Orang Terkentut:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

National Geographic POD