CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, April 15, 2011

Aura dan Getaran: Tenaga Dari Manusia Yang Hebat



Aura dan getaran adalah dikaitkan dengan gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu yang berlegar di sekitar tubuh manusia. Ia juga dikaitkan perlanggaran atom, elektron dan elemen di sekitar tubuh yang menghasilkan tenaga. Kesan kekuatan gelombang ini boleh dilihat dengan pandangan fizikal ke atas mereka yang mempunyai banyak aura dan getaran positif.

Begitu banyak kajian dilakukan oleh golongan barat dan pengkaji-pengkaji biologi tentang kewujudan aura dan getaran. Seorang saintis Rusia contohnya menghabiskan 50 tahun mengkaji tentang aura dan pembacaannya menggunakan kesan Kirlian. Malah sudah ada pengusaha di serata dunia menggunakan kesan Kirlian untuk membaca aura seseorang bagi mengesan masalah kesihatan mereka.

Tapi adakah aura ini wujud dalam Islam? Adakah ini semua ajaran karut yang membuat manusia memikirkan seseorang itu boleh mempunyai tenaga baik dan tenaga jahat yang boleh mempengaruhi seseorang? Hakikatnya ia telah ada dalam Islam dan dikenali sebagai NUR.

Apakah itu Nur? Nur berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud cahaya. Ia bukanlah cahaya fizikal tetapi cahaya mental atau kesan refleksi tenaga yang mana boleh dilihat penzahirannya daripada cara hidup seseorang. Nur bukan sahaja dikaitkan penzahirannya melalui tenaga malah penzahirannya kepada fizikal seseorang.

Di dalam Islam, kekuatan Nur seseorang itu akan lebih terserlah daripada Iman dan amalan hidup Islamnya yang mana amalan tersebut dipenuhi dengan nilai positif, keikhlasan, keyakinan, kebenaran dan semangat.

Wajah seseorang yang mempunyai Nur itu sentiasa bersih dan menyegarkan mata orang lain yang memandang. Kedapatan hadis sahih yang menggambarkan Rasulullah S.A.W. itu mempunyai wajah yang berseri-seri, berkulit bersih, alisnya yang lentik, tidak kurus atau gemuk serta wajah yang rupawan.

Begitu juga dikatakan ucapannya itu menyejukkan kalbu mereka yang mendengar. Hadirnya Rasulullah S.A.W. dirasai mereka seolah sedang datang ketenangan dan kegembiraan kepada mereka. Ini sebenarnya yang dikatakan Nur dan mungkin dikatakan sebagai getaran aura bagi pengkaji bukan Islam.

Mari kita lihat hasil kajian orang bukan Islam tentang aura dan ajaran Islam yang sedia ada.
-
-
-

PERSEKITARAN
Kajian menjelaskan peranan persekitaran terhadap aura seseorang. Seseorang yang rajin menghirup udara segar, melihat matahari terbit serta menjaga kebersihan alam persekitarannya dikatakan mampu memperbaiki aura dirinya.

Ia lebih dikaitkan dengan satu kaedah dan cara kehidupan yang lebih sihat, sempurna, jauh dari pencemaran serta banyak berhubung dengan alam semulajadi.

Dalam Islam pula sememangnya telah diajar umat tentang pentingnya menjaga kebersihan dan terdapat dalil yang menyokong perkara ini. Selain itu, orang Islam diseru supaya tidak tidur apabila matahari terbit kerana ia mampu menjemput penyakit.

Dalam perihal alam semulajadi pula, kedapatan hadis yang menerangkan tentang perlunya menjaga alam contohnya sabda Rasulullah S.A.W. "Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." Hadis riwayat Muslim.

Oleh yang demikian haruslah kita ingat bahawa perlunya kita mengambil tahu tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam, kebersihan persekitaran dan tempat tinggal serta peranan waktu pagi dalam kehidupan. Kita tidak sedar agama telah pun mengajar kita menjaga aura dan getaran dengan penghayatan alam.
-
-
-

NUTRISI DAN PEMAKANAN

Kajian mengatakan makanan yang bersih serta segar mampu menaikkan aura seseorang. Selain itu, hanya bahagian-bahagian terpilih yang tertentu pada makanan yang berzat dan tidak mempunyai elemen kekotoran sahaja yang harus dimakan.

Apa kurangnya Islam yang sememangnya mempunyai panduan khas dalam pemakanan yang suci dan halal. Islam lebih teliti dan tersusun dalam menentukan kesucian pemakanan dan sememangnya ada kategori dan bahagian tertentu pada haiwan makanan itu tidak digalakkan untuk dimakan sungguhpun halal contohnya bahagian darah dan dalaman seperti hati, limpa, dan organ dalaman.

Malah Islam mengajar lebih lagi daripada itu iaitu mempastikan kesucian makanan itu pada zahir dan batinnya. Batin itu bermaksud menjaga sumber rezeki supaya halal. Haramnya sumber itu menjadikan makanan yang fizikalnya halal menjadi haram. Maka telah terbukti ajaran Islam memberi panduan yang lebih jelas dan mendalam tentang fakta ini.
-
-
-

SENAMAN

Kajian seterusnya menjelaskan perlunya senaman untuk menjaga kesihatan bagi mereka yang ingin membangkitkan aura. Melalui senaman, tubuh dan organnya akan menjadi lebih aktif dan sihat bagi menghasilkan aura dan getaran yang lebih positif.

Solat adalah senaman yang pasti bagi orang Islam yang mengerjakan solat lima (5) waktu sehari semalam. Sama ada seorang Islam itu bersenam atau tidak, tanpa disedari mereka telah pun melakukan senaman paling asas lima (5) kali sehari.

Selain itu kedapatan perkara lain dalam ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menggerakkan tubuh badan antara diberikan pahala bagi setiap langkah orang yang ke masjid. Maka mereka yang berjalan ke masjid itu bersenam sambil membuat pahala.

Adakah kita sedar betapa ruginya kita yang sering meninggalkan solat dan jarang ke masjid? Mungkin kita harus sedar Allah itu menyayangi kita dan mahukan hamba-hambanya sihat dan memperoleh kesihatan serta getaran walaupun dalam urusan pengabdian kepadanya.
-
-
-

TAFAKUR

Tafakur atau dalam bahasa Inggeris 'meditation' ditafsirkan oleh barat sebagai aktiviti mendiamkan diri dalam posisi tertentu, pada tempoh tertentu untuk memperoleh ketenangan. Tujuannya adalah untuk merehatkan otak yang mana otak yang sihat ini dapat memandu tubuh badan menjadi lebih sihat dan produktif. Seterusnya aura dan getaran seseorang itu lebih tulen.

Tafakur bukanlah perkara yang asing dalam Islam. Terlalu banyak panduan yang digariskan dalam Islam yang boleh dikaitkan dengan tafakur dan juga objektif tafakur itu sendiri. Antaranya beriktikaf dalam masjid untuk mengingati Allah melalui amalan zikir serta amalan lain seperti membaca al-Quran. Solat itu sendiri mempunyai kesamaan objektifnya dengan tafakur.

Seorang yang khusyuk dalam solat akan melupai apa yang berlaku di sekelilingnya dan melatih seseorang menjadi lebih fokus. Selepas solat, maka disunatkan kita berzikir dan berdoa. Ia adalah amalan untuk kita lebih menenangkan diri melalui zikir dengan mengingati Allah dan menaikkan keyakinan seseorang bahawa Allah itu sentiasa mendengar melalui aktiviti doa.

Banyak lagi panduan melalui amalan ketuhanan dalam Islam yang mempunyai objektif yang sama seperti tafakur dan ia bukan sahaja memberi ketenangan di dalam jiwa, malah membina sifat sabar, yakin, syukur, tabah dan berserah.
-
-
-

TIDUR

Kajian mengatakan lagi perlunya seseorang itu mempunyai tidur yang cukup dan bangun secara semulajadi. Ia bagi membolehkan tubuh badan manusia itu memperoleh cukup istirehat agar ia boleh berfungsi dengan baik setiap hari. Tubuh yang kurang tidur dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang itu memperoleh penyakit. Tubuh yang tidak sihat umpama mesin yang tidak produktif. Aura dan getaran amat kurang pada tubuh yang kurang rehat.

Dalam surah an-Naba' ayat ke-9, Allah berfirman yang bermaksud "Jadikanlah tidur kamu itu satu istirehat". Selain itu dalam surah al-Qasas dari ayat 71-73, Allah banyak menjelaskan tentang tidur ia juga merupakan ayat yang dijadikan rujukan bg membuat panduan tentang tidur dalam Islam. Sememangnya penjelasan Islam tentang tidur dan istirehat darinya digariskan dalam perbincangan yang tersusun termasuklah adab-adab tidur itu sendiri sama ada seseorang itu mendapatkan tidurnya pada waktu siang atau waktu malam untuk merehatkan tubuh badan.
-
-
-

HUBUNGAN KEMANUSIAAN

Kajian barat lagi menggariskan bahawa seseorang itu membangkitkan aura dan getaran mereka melalui hubungan kemanusiaan yang positif, hubungan kekeluargaan dan setiakawan, hubungan dengan komuniti yang positif serta hubungan dengan orang-orang yang progresif. Hubungan yang positif menghasilkan gelombang aura dan getaran semulajadi daripada nilai positif itu sendiri.

Perkara ini telah banyak dibincangkan dalam konsep muamalat dalam Islam. Terlalu banyak panduan Islam tentang hubungan kekeluargaan, sahabat, kemasyarakatan serta hubungan dengan para ilmuan yang progresif. Apa yang perlu adalah cuma mencarinya dengan mudah di internet atau ke toko buku dengan mendapatkan penulisan tentang perkara tersebut dalam Islam. Ia telah ada beribu tahun yang dahulu.

Apa Kata Anda?

Adakah kajian orang barat itu perkara sia-sia sedangkan semua itu telah pun diajar di dalam Islam? Hakikatnya ia adalah perkara yang baik untuk dikaji dan dijelaskan dalam susunan. Mungkin selama ini orang Islam tidak sedar bahawa ajaran Islam itu sendiri mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Maka dengan penemuan sains dan kajian, menjelaskan lagi bahawa doktrin Islam ini penuh dengan perkara hikmah yang masih lagi boleh digali dan dicari kelebihannya.

Berbalik kepada aura dan getaran. Apakah moral di sebalik perbincangan ini? Sekiranya kita melihat kembali isi dan pengisian tentang aura dan getaran itu sendiri mengajar kita untuk menjadi manusia yang mulia. Berbeza daripada amalan yang berada dalam kehidupan kita sekarang yang terlalu banyak mencemarkan cara hidup serta alam.

Kehidupan kini penuh dengan persepsi negatif, kelakuan negatif, konsep negatif, panduan negatif, idea negatif dan pendek kata kehidupan manusia yang semakin canggih kini semakin membuahkan banyak perkara negatif. Maka tidak hairan mengapa manusia berlumba-lumba mencari kehidupan yang ditafsirkan mereka sebagai kejayaan tetapi sangat ramai juga yang memberitahu mereka masih belum menemui kehidupan.

Selain itu aura dan getaran ini adalah satu tips bagi mereka dalam membina kehidupan baik dari segi kerjaya, perniagaan, perhubungan dan sebagainya. Aura dan getaran kini menjadi salah satu topik hangat bagi individu yang membina kerjaya mereka bagi memperoleh kesan dan hasil yang memberangsangkan. Amat rugi bagi orang Islam yang tidak mendalami ilmu Islam itu sendiri dan masih tertanya-tanya mengapakah aku seorang Islam tetapi hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Silapnya ialah kita sendiri kurang menghayati agama.

Oleh yang demikian, luangkanlah masa untuk agama. Agama Islam bukanlah kisah ketuhanan atau sembahyang. Islam sebenarnya adalah cara hidup. Orang Islam yang rosak itu adalah mereka yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Jadi tidak hairanlah, seorang Islam itu masih terkapai-kapai dalam kekayaan, masih hidup dalam keganasan dan minda yang tertutup, masih mencari penyelesaian lain yang hakikatnya telah ada dalam Islam. Ini semua adalah kerana, mereka tidak mendapatkan ajaran Islam yang sebenar dan mereka tidak menghayati ajaran yang telah pun mereka temui.

Sesekali carilah individu yang mempunyai Nur. Individu seperti ini sangat banyak di kalangan ulama dan ahli Agama yang menghayati Islam. Raut wajah mereka sangat bersih dan menenangkan mata yang memandang. Usah dinilai daripada foto dan gambar tetapi carilah peluang bertemu mereka untuk melihat Nur yang Allah kurniakan kepada hambanya yang taat dan menghargai agama. Anda sendiri akan merasa adanya ketenangan walaupun hanya dengan mendampingi mereka.

0 Orang Terkentut:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

National Geographic POD